Beri kepercayaan kepada generasi baharu tentukan masa depan negara

Kenyataan Tun Mahathir bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mampu mentadbir negara di saat krisis adalah usaha berterusan beliau untuk memastikan Anwar tidak menjadi Perdana Menteri.

Kata beliau, dalam dua bulan menguji Anwar menjadi pemangku PM, dia mendapati Anwar tidak boleh mentadbir semasa krisis.

Setiap pemimpin baharu, biasanya diberi 100 hari , tempoh bulan madu untuk beliau menyesuaikan diri dengan tanggungjawab baru. Penilaian 60 hari mungkin terlalu singkat, lebih-lebih lagi sebagai ujian sahaja dan bukan jawatan yang hakiki.

Sebagai PM 7, Tun terus berbohong kepada rakyat selama 22 bulan yang teraju pimpinan negara akan diserahkan kepada Anwar mengikut keputusan Majlis Tertinggi Pakatan Harapan (PH). Berkali-kali diulang, diputar, dibelitkan kepada satu negara dan dunia bahawa dia adalah orang yang menepati janjinya.

Kenyataan terbaharu mantan PM bilionair ini, berniat untuk mempengaruhi rakyat bahawa beliaulah mampu menilai dan menentukan siapa yang akan memimpin negara, bukan rakyat.

Setelah meletakkan jawatan PM 7, beliau mencadangkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai PM. Kemudian dia sendiri sebagai PM untuk enam bulan dan pelbagai pengumuman untuk mendapat perhatian media dan rakyat.

Mahathir pernah dipetik berkata di media bahawa dia tidak pandai memilih penggantinya termasuklah Pak Lah, Najib dan Muhyiddin Yassin. Selalu tersasar terpilih orang yang tidak sesuai katanya. Timbalan-timbalannya pun ada disingkir.

Mahathir juga bertelingkah dengan semua PM sebelum dan selepas dia kecuali Allahyarham Tun Abdul Razak kerana mungkin tidak sempat, beliau meninggal awal.

Oleh kerana penulis bukan orang politik dan biasa-biasa sahaja, agak memakan masa yang lama untuk memahami gerak geri, strategi dan helah Tun Mahathir.

Mati-mati saya ingat dia akan ‘hand over’ kepada Anwar Ibrahim kerana kenyataan dan janji secara terbukanya. Tidak siapa akan tergamak mungkir janji apabila dibuat berkali-kali di dalam dan luar negara.

Rupa-rupanya, baru saya faham beliau dengan kuncu-kuncu, maklum arus kebangkitan rakyat untuk membuang kerajaan kleptokrasi dalam PRU14, tidak dapat dibendung lagi.

Kleptokrasi adalah ciptaan Tun. Jika mereka tidak menunggang ‘harimau reformasi’ ini dan mengawalnya, mereka akan jadi sasarannya selepas Najib.

Maka dengan tiba-tiba Tun menjadi ‘tokoh reformasi’. Tun Mahathir menjadi calon PM Pakatan Harapan (PH) kerana Anwar masih dalam penjara. Hairan ini berlaku.

Namun Matthias Chang, bekas setiausaha politik Mahathir, mendedahkan jawatan itu dibeli dengan RM100 juta. Dana diberi kepada PH untuk kempen PRU14. Belum ada sesiapa yang menafikan dakwaan Matthias setakat ini.

Kemudian didedahkan juga oleh Hamzah Zainuddin bahawa PM 7 mengarahkan dia untuk pastikan, rakyat khususnya orang Melayu bertambah benci kepada DAP.

Kenyataan beberapa wakil DAP yang agak melampau tidak disekat atau ditegur menyebabkan sebahagian besar orang Melayu dan Islam semakin marah kepada PH .

Sementara itu, Tun sudah pun memulakan perancangan untuk Langkah Sheraton sejak mula memegang jawatan PM7. Setiausaha politiknya, Zahid Mat Arip mendedahkan, “Mahathirlah orang yang paling gembira dengan Perikatan Nasional mengambil alih tampuk pemerintahan tetapi dia tidak boleh menunjuknya!”

Sekarang Mahathir menubuhkan parti baharu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang). Ada empat ahli Parlimen yang tinggal.

Tidak lama lagi, mungkin bapa dan anak sahaja yang tinggal menerajui Pejuang. Saya tidak tahu kalau Mahathir bersandiwara dengan PM 8 kerana jalan menuju ke Putrajaya PN, diturap oleh Tun sendiri.

Kalau begitu, sudah pasti akan ada tempat akhirnya, untuk anaknya Mukhriz memimpin. Tidak salah kalau beliau punya kebolehan dan pengalaman yang cukup dan diterima rakyat. Mungkin saya salah membuat perhitungan. Allah sahaja yang tahu.

Kenapakah Tun mati-mati tidak mahu Anwar jadi PM? Perkiraan saya ialah pada pandangan Tun, Anwar mungkin akan merungkai segala kepentingan dan monopoli Mahathir, keluarganya serta kroninya dan dengan itu, legasinya.

Anwar dilihat sebagai tokoh reformis tulen yang tegas dan mampu mengembalikan kuasa dan kebebasan kepada institusi kuat kuasa dan semak imbang negara.

Reformasi adalah perlu untuk negara melangkah ke negara maju dengan demokrasi berperlembagaan yang boleh membawa negara kehadapan. Politik cara dunia ketiga dengan pemusatan kuasa di tangan eksekutif, kleptokrasi, institusi semak imbang yang tidak bebas dan lemah, kehakiman yang boleh runding, sudah tidak relevan.

Politik perlu seiring dengan kemajuan negara. Tidak ada jalan pintas. Dengan penuh takzim, kami merayu : “Cukuplah Tun”. Rekod PM tertua di dunia telah pun dicapai mengalahkan Robert Mugabe, Presiden Zimbabwe.

Berilah kepercayaan kepada generasi baharu untuk memerintah dan menentukan hala tuju negara dan masa depan anak cucu kita. Percayalah, ada cukup orang yang berkebolehan untuk mengemudi negara dengan idealisme, metodologi dan idea terbaharu.

Kestabilan politik perlu untuk memerintah. Mandatnya adalah dari rakyat melalui PRU. Politiking yang berterusan akan mengganggu kestabilan negara.

Peluang telah diberi selama 24 tahun memerintah. Masanya sudah tiba untuk berundur.

*IR MOHD JAMALUDIN SHAMSUDIN merupakan aktivis pertubuhan masyarakat sivil.

Sumber : https://malaysiadateline.com/beri-kepercayaan-kepada-generasi-baharu-tentukan-masa-depan-negara/

Read Previous

DAP dan PKR mungkin tidak sokong Belanjawan 2021

Read Next

Bila Professor Jomo bersuara… KITA SUDAH KENALI COVID19

Leave a Reply

%d bloggers like this: