
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan yang satu ketika dahulu bersama ‘kartel’ bekas pemimpin tertentu harus diberi peluang untuk kembali ke pangkuan PKR tanpa sebarang prasangka melainkan jika mereka terbukti melanggar peraturan parti.
Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Port Dickson itu, golongan tersebut juga perlu sedar sejarah lampau mereka akan menimbulkan sedikit kebimbangan, melainkan mereka membuktikan perkara itu sudah berlalu.
“Sepanjang setahun, inilah desakan saya kerana kita tidak mahu parti mengambil sikap terlalu keras terhadap kalangan yang mahu menyertai dan memperkuatkan parti.
“Orang yang taat kepada parti dan prinsip perjuangan harus dirangkul dan bukannya keputusan ketua, presiden atau kepimpinan untuk menolak mereka apatah lagi jika mengikut arahan kelompok tertentu di dalam parti,” katanya.
Anwar berkata demikian dalam ucapan penggulungan Presiden sempena Kongres Nasional Keadilan Ke-15 yang berlangsung secara maya sepenuhnya hari ini ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 masih berkuat kuasa.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan ahli PKR supaya membuang sikap taasub dengan ketua termasuk terhadap beliau sendiri atau mana-mana kelompok di dalam parti.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut menegur ahli-ahli PKR yang tewas apabila diuji dengan sedikit kuasa dan kesenangan.
Beliau berpendapat sikap tersebut amat dikesali kerana satu ketika dahulu mereka telah berjaya mengharungi ujian sewaktu bersusah payah dalam perjuangan.
Ada ahli parti, jelasnya, yang berubah walaupun baru bergelar ahli majlis selain wakil rakyat yang tersinggung apabila tidak dipanggil dengan gelaran Yang Berhormat.
“Ada yang memastikan gelaran (kebesaran) tidak ditinggalkan. Ini budaya apa?
“Lebih mementingkan kilauan kuasa berbanding inti perjuangan untuk menolak kebatilan, rasuah dan kezaliman, salah guna kuasa dan kalau lebih kuat tolak dendam kesumat dan nafsu serakah,” tegasnya.