
Naib Presiden AMANAH Nasional, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus mempersoalkan kebenaran diberikan kepada seorang Ahli Parlimen untuk ke luar negara bagi satu misi kemanusiaan, walhal kes jenayahnya di mahkamah belum selesai.
Beliau bertanya, adakah selepas ini sesiapa sahaja yang mempunyai perbicaraan di mahkamah akan dibenarkan ke luar negara, walaupun untuk sebuah misi kemanusiaan.
Beliau berkata, nampaknya semua menjadi lebih mudah untuk lulus apabila seseorang individu itu mengenali rapat dengan semua “warlords”.
“Tatkala rakyat yang tidak berpuas hati memberi pelbagai gelaran seperti kluster kayangan kepada golongan VIP yang mendapat layanan istrimewa, tiba-tiba muncul cerita Ahli parlimen yang ini.
“Apakah kes ini akan membuka amalan baru? Sesiapa sahaja yang masih ada perbicaraan di mahkamah akan dibenarkan ke luar negara, walaupun untuk sebuah misi kemanusiaan.
“Apakah mesej sebenar yang mahu kita sebarkan kepada rakyat dan anak muda?,” soalnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.
Pada 18 Jun lalu, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dilaporkan telah mendapat kebenaran untuk ke luar negara bagi mengetuai misi Humanitarian Mission 4 Palestine (HM4P) al-Quds dan Gaza.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud yang memberitahu tiada isu untuk Abdul Azeez ke luar negara kerana beliau telah mengemukakan permohonan untuk melaksanakan misi berkenaan berserta surat sokongan daripada Wisma Putra dan surat pelepasan daripada mahkamah kepada Imigresen.
Abdul Azeez berhadapan dengan tiga pertuduhan rasuah berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah melibatkan RM5.2 juta serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM140 juta di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Media sebelum ini melaporkan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Azura Alwi telah membenarkan permohonan Abdul Azeez supaya pasport antarabangsa miliknya diserahkan semula buat sementara waktu mulai 10 Jun hingga 20 Julai 2021 bagi tujuan misi tersebut.
Sementara itu Hasanuddin berkata, ramai lagi badan bukan kerajaan (NGO) dan pejuang kemanusiaan yang lebih berkaliber yang mampu melaksanakan tugas tersebut.
Ahli Parlimen Hulu Langat itu menegaskan agar kerajaan menghentikan amalan pilih kasih dan tidak membenarkan seseorang yang berkedudukan, berharta dan mempunyai ramai kenalan, untuk berada di atas undang-undang.