Empat polis bantuan di Parlimen antara tujuh individu positif Covid-19

Empat polis bantuan yang bertugas di Parlimen disahkan positif Covid-19 melalui saringan sebelum sidang Dewan Rakyat bermula.

Tiga lagi individu yang turut dijangkiti Covid-19 ialah isteri kepada salah seorang polis bantuan itu, petugas media dan pembantu seorang senator.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, saringan itu dilakukan terhadap semua Ahli Parlimen dan kakitangan di Parlimen.

“Seorang polis bantuan didapati positif dan kita menjalankan pengesanan kontak dan mendapati tiga daripada rakan sekerjanya serta isterinya juga positif. Sudah ada lima kes di situ.

“Seorang lagi berkerja dengan media dan kami sudah menjalankan pengesanan kontak terhadap tujuh ahli keluarganya dan keputusan ujian masih belum diperoleh.

“Pembantu seorang senator didapati positif dan kami sudah mengenalpasti 12 kontak rapat. Walaupun pembantu itu positif, mereka mungkin dalam tempoh inkubasi jadi kami kuarantinkan semuanya,” katanya pada sidang media harian Covid-19, di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, ada tempoh enam minggu daripada hari terakhir Dewan Negara bersidang pada September lalu sehingga mereka menjalani ujian saringan

Justeru, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya tidak tahu di mana kakitangan terbabit terdedah kepada jangkitan Covid-19 atau siapa pembawa jangkitan itu kecuali ujian saringan dijalankan setiap dua minggu.

“Inilah cabaran bagi kami. Saringan memang dijalankan namun kami hanya mampu mengesan antara 30 hingga 40 peratus daripada mereka yang bergejala.

“Bagaimanapun, kita semua tahu mereka mungkin tidak bergejala. Jangkitan boleh berlaku dua hari sebelum simptom muncul dan tujuh hari selepas simptom,” jelas Dr Noor Hisham lagi.

Read Previous

Belanjawan Perpaduan 2021 tidak akan berlaku jika enam syor PH ditolak

Read Next

Lebih 6,600 cadangan diterima daripada sesi konsultasi Belanjawan 2021

Leave a Reply

%d bloggers like this: