Jangan Terkejut Jika Kerajaan Ingkar

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukanlah kerajaan popular dalam dua erti kata. Pertama ia bukan kerajaan yang di pilih melalui pilihan raya dan kedua rampasan kuasanya bukan gerakan popular (popular movement).

Ia menjadi bertambah tidak popular apabila gagal mengawal penularan wabak Covid-19, khususnya selepas ahli-ahli politik Semenanjung balik daripada berkempen dalam pilihan raya negeri Sabah September lalu tanpa melakukan kuarantin.

Siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan variasi-variasinya gagal memutuskan rangkaian jangkitan, ekonomi merudum, pengangguran melambung, kemiskinan meluas dan kempen vaksinasi perlahan.

Kemarahan dan kebencian orang ramai merebak sehingga menyentuhi setiap institusi yang dilihat memihak atau memberi talian hayat kepada kerajaan tebuk atap itu, termasuklah Institusi Raja.

Menyedari hal ini, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengambil initiatif besar dan terbuka bagi memecahkan kebuntuan yang semakin meruncing itu.

Hasil konsultasi Baginda dengan ketua-ketua parti politik dan perbincangan khas dengan Raja-raja Melayu, dua kenyataan penting telah dikeluarkan – satu atas nama Yang di-Pertuan Agong dan satu lagi atas nama Raja-raja Melayu – yang kedua-duanya mahu Parlimen bersidang semula secepat mungkin, darurat tidak dilanjutkan dan krisis kesihatan serta ekonomi ditangani dengan lebih berkesan.

Rakyat jelata menaruh harapan yang tinggi terhadap langkah proaktif Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu itu. Mereka mengharapkan titah di-raja itu membantu meringankan masalah mereka dan menyelamatkan negara.

Mereka sudah lama menolak dolak-dalik dan segala macam amanat oleh Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yasin (rasmi) dan konco-konconya. Sekarang rakyat jelata mahu melihat dia dan konco-konconya mematuhi dan memenuhi hasrat yang dinyatakan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu itu.

Tetapi jangan terkejut kalau Mahiaddin dan konco-konconya ingkar, masih berdolak-dalik dan terus mempersoalkan semantik titah di-raja itu semata-mata untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Ingatlah, orang yang masuk ikut pintu belakang ini kadang-kadang berasa mereka akrab dan mesra dengan tuan rumah sehingga tidak sedar yang kehadiran mereka tidak dialu-alukan lagi.

Sekian. Terima kasih.

Kredit : A Kadir Jasin

Read Previous

Strategi PAS, bertunang dengan Umno, kawin dengan PPBM, makan diri

Read Next

Panduan untuk anda apabila berlaku kematian di rumah atau di waktu malam

Leave a Reply

%d bloggers like this: