Malaysia tanpa 3 tonggak jumpa Thailand

Skuad Harimau Malaya terus berdepan tugas berat apabila tiga tonggaknya, La’Vere Corbin-Ong, Syamer Kutty Abba dan Mohamadou Sumareh tidak dapat diturunkan menentang Thailand di Dubai pada Rabu ini akibat penggantungan.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe yang mengesahkan perkembangan itu menyifatkan ketiadaan Corbin-Ong di bahagian pertahanan kiri mungkin paling menjejaskan pasukan untuk menghadapi perlawanan terakhir Kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu.

Beliau bagaimanapun berkata barisan kejurulatihan akan berbincang dan membuat penilaian mengenai barisan kesebelasan utama terbaik yang akan diturunkan.

“Saya rasa keseluruhan kita fokus kepada pasukan. Bek kiri, Corbin memang pemain utama di posisi itu dan sedikit sebanyak boleh menjejaskan dari segi pertahanan kerana kita tiada pertahanan kiri yang boleh diketengahkan.

“Tapi kita yakin pemain yang kita bawa ini, mereka juga nakkan peluang bermain dan mereka akan diberi peluang. Saya harap pemain dapat fokus dan beri tumpuan terbaik menentang Thailand nanti,” katanya pada sidang media yang diadakan secara maya dari Dubai, hari ini.

Berdasarkan senarai pemain yang ada, Syahmi Safari atau Rizal Ghazali mungkin boleh digunakan bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Corbin-Ong walaupun mereka sebelum ini beraksi di bahagian kanan bersama kelab masing-masing.

Skuad Harimau Malaya memerlukan kemenangan ke atas Thailand bagi menempah slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia. Sebelum ini, mereka tersingkir dari kelayakan pusingan ketiga Piala Dunia 2022 selepas tewas 1-2 kepada Vietnam pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Cheng Hoe turut berkongsi cabarannya menghadapi saat paling sukar apabila menerima berita kematian bapanya beberapa jam sebelum aksi berdepan Vietnam di Stadium Al-Maktoum itu.

“Saya berhubung dengan keluarga terdekat, mereka mengatakan teruskan tanggungjawab dan segala urusan kematian ayah, saya bagi keluarga uruskan.

“Tugas sebagai jurulatih fokus kepada pasukan walaupun kita tahu kita kehilangan orang tersayang. Tetapi disebabkan tugas dan tanggungjawab saya sebagai jurulatih, saya kena teruskan perjuangan kerana saya tahu saya tidak boleh tinggalkan pasukan ketika ini.

“Saya tahu tugasan paling penting menentang Vietnam dan saya fokus perlawanan itu walaupun dalam keadaan begitu, sesiapa pun akan berasa sedih. Tapi saya kena tabah dan kuatkan semangat,” katanya

BH

Read Previous

Israel lulus pembentukan kerajaan baharu, pecat Benjamin Netanyahu

Read Next

Polis Shah Alam siasat VIDEO tular jiran gaduh isu parkir

Leave a Reply

%d bloggers like this: