Mana 800 siaran pendidikan RM2 juta untuk murid? soal Maszlee kepada kerajaan

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik berkata projek itu diberikan kepada sebuah syarikat secara rundingan terus.

PETALING JAYA: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik meminta penjelasan Putrajaya berhubung status 800 kandungan siaran pendidikan yang seharusnya selesai pada Oktober lalu untuk ditayangkan di saluran TV pendidikan arus perdana.

Maszlee (Bebas-Simpang Renggam) berkata, pelaksanaan 800 kandungan siaran pendidikan itu sebelum ini sudah diserahkan kepada sebuah syarikat menerusi rundingan terus dengan projek bernilai RM2 juta.

“Rakyat tahu KPM ada berikan projek, melalui tender terus berharga RM2 juta sejak beberapa bulan lalu untuk hasilkan 800 kandungan yang sepatutnya diselesaikan pada Oktober lalu.

“Dewan ingin penjelasan, apakah status pembekalan kandungan yang KPM (Kementerian Pendidikan) berikan pada syarikat berkenaan, di manakah 800 kandungan dijanjikan itu. Pendidik dan anak-anak sekolah sedang menantikannya,” katanya dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan semua sekolah dan kolej vokasional bawah KPM ditutup bermula 9 Novem lalu. Arahan itu turut terpakai kepada negeri yang tidak melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) susulan penularan Covid-19.

Maszlee berkata, tempoh masa 2 jam siaran pendidikan yang disiarkan menerusi saluran televisyen arus perdana juga tidak memadai, jika dibandingkan dengan negara jiran lain.

“Setakat ini TV pendidikan percuma di Malaysia hanya boleh diakses di TV Okay selama 2 jam sehari sahaja. Ini amat memalukan, di Indonesia, mereka peruntukkan 6 jam sehari di stesen televisyen arus perdana mereka. Di Thailand pula mereka sediakan 15 saluran untuk pendidikan.

“Manakala, di Turki, siaran televisyen pendidikan disediakan bagi setiap kelas berbeza dari pra sekolah hingga peringkat universiti. Di Malaysia hanya 2 jam sehari,” katanya.

Sementara itu, bekas timbalan menteri pendidikan Teo Nie Ching turut mempersoalkan tempoh siaran pendidikan yang amat tidak memuaskan.

Teo berkata, beliau sendiri sudah mengikuti waktu siaran TV pendidikan itu, bagi tempoh seminggu bermula 5 November hingga 12 November lalu untuk melihat waktu pengajaran subjek bagi murid sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Untuk tingkatan 6 hanya 3 subjek yang diajar iaitu fizik yang diajar selama 55 minit, subjek ekonomi pula selama 27.5 minit dan sejarah 27.5 minit. Itu sahaja untuk tingkatan 6. Lagi teruk untuk tingkatan 2, bagi tempoh 5 November hingga 12 November, tidak ada mata pelajaran yang diajar dalam saluran ini.

“Berbanding dengan tahun 1, hanya 1 mata pelajaran diajar iaitu matematik selama 30 minit, sedangkan di sekolah rendah untuk darjah 1, bagi tempoh seminggu sepatutnya mereka boleh belajar 300 minit seminggu,” katanya.

Sumber Berita : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/16/mana-800-siaran-pendidikan-rm2-juta-untuk-murid-soal-maszlee-kepada-kerajaan/?utm_source=FCM&utm_medium=Push

Read Previous

PH hanya akan sokong belanjawan berkaitan Covid-19, bukan yang lain – Anwar

Read Next

Gaji bos GLC : Pengkhianatan terhadap orang melayu miskin

Leave a Reply

%d bloggers like this: