SINDIKET KETUM BERNILAI RM300K PAK DIN TUMPAS

Satu sindiket ketum didalangi lelaki seorang tempatan dikenali sebagai Pak Din tumpas selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Simpang Renggam melakukan serbuan di Lot 114, Jalan Banjaran 4, Tampoi di sini semalam.

Dalam serbuan dalam Op Benteng pada jam 9.45 pagi itu, lima lelaki berusia 29 hingga 54 tahun ditahan.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintenden Dimin Awang berkata, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek yang ditahan menjalankan aktiviti pengedaran dan pemprosesan daun ketum.

“Antara barang yang dirampas 20 guni putih berisi daun hijau dipercayai daun ketum dengan anggaran berat setiap guni kira-kira 30 kilogram (kg).

“Sebanyak 18 plastik lutsinar warna hitam berisi daun warna hijau dipercayai daun ketum dengan anggaran berat 12kg; empat tong ais warna merah dan ungu setiap tong berisi 20 botol lutsinar 1.5 liter yang berisi cecair warna hijau dipercayai air ketum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, rampasan juga melibatkan lima plastik guni warna kuning dengan setiap satu berisi daun berwarna hijau dipercayai daun ketum dengan anggaran berat setiap guni 15kg.

Turut dirampas empat plastik lutsinar dengan setiap satu berisi daun berwarna hijau dipercayai daun ketum dengan anggaran berat setiap satu 10kg, satu lori jenis Hino, dua periuk steel, dua tong gas dan dua dapur gas serta empat peti ais.

“Anggaran nilai rampasan ketum sahaja RM76,880 manakala keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM270,780. Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut,” katanya.

Menurutnya, sindiket tersebut sudah beroperasi kira-kira setahun lalu dan premis tersebut dipercayai dijadikan tempat pemprosesan sebelum bekalan air ketum diedarkan ke kawasan berdekatan.

Jelasnya, sindiket itu didalangi Pak Din yang menetap di Kangar, Perlis dan daun ketum diperoleh dari kawasan Pendang, Kedah.

Kejayaan tangkapan dan rampasan itu berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran air ketum sekitar daerah Johor Bahru dan Kulai.

Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Beliau menyeru orang awam untuk terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban serta kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi jalan yang tidak diwartakan. – VOICE

Read Previous

Derhaka: Polis siasat laporan polis terhadap Takiyuddin

Read Next

Lengah buka parlimen tanda derhaka, kata Pemuda Umno

Leave a Reply

%d bloggers like this: