Top Glove ‘dalam proses’ tutup kilang di Meru

Pekerja Top Glove dilihat keluar dari kilangnya di Meru, Klang pada 26 Nov lepas.

Top Glove Corporation hari ini berkata, ia kini dalam proses menutup sementara kilangnya di Meru, Klang, tanpa mengesahkan bahawa kilang berkenaan masih beroperasi.

Semalam berpuluh-puluh pekerja dilihat keluar dari dua kilang syarikat itu di Meru, tetapi beberapa ketika sebelum ini sebuah bas dilihat menurunkan pekerja di luar pintu pagar kilang yang sama.

Perbualan ringkas dengan pekerja yang berada di luar kilang berkenaan mendapati dua daripada mereka memberitahu mereka bekerja di dua kilang berasingan.

Pada sidang media Rabu lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Top Glove telah menutup 27 daripada 28 kilangnya di Meru.

Pada Isnin, Top Glove, yang merupakan pengeluar sarung tangan perubatan terbesar di dunia, diarah memberhentikan operasi kilangnya di Meru secara berperingkat bagi membolehkan pekerja menjalani saringan dan kuarantin wajib bagi menyekat penularan kes Covid-19.

“Penutupan sementara kilang kami secara berperingkat sedang berjalan dengan kerjasama rapat pihak berkuasa terbabit,” kata Top Glove dalam kenyataan hari ini.

“Ini akan membantu proses pembersihan dan sanitasi premis bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja serta komuniti sekeliling, selain membolehkan kerja penyelenggaraan lain dijalankan.”

Pekerja Top Glove dikaitkan kuluster Teratai di Meru, iaitu kluster aktif Covid-19 terbesar di negara ini setakat ini.

31 jangkitan baru yang dilaporkan hari ini membabitkan kluster tersebut. Ini kini mencatatkan 4,124 kes.

Top Glove berkata, pekerjanya di Meru juga kini dalam proses saringan besar-besar, dengan menambah bahawa 80% kakitanganganya disaring setakat ini.

Proses saringan besar-besaran itu dijangka tamat pada 4 Dis depan.

“Kilang kami akan dibuka semula secara berperingkat apabila pekerja disahkan negatif, menamatkan tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan bekerja oleh pihak berkuasa berkaitan,” katanya. FMT.

Read Previous

Belanjawan lulus, kegembiraan Muhyidin rupanya seketika

Read Next

Anwar setuju letak jawatan Ketua Pembangkang jika gagal jatuhkan PN?

Leave a Reply

%d bloggers like this: