Tun Faisal sokong Annuar, Umno patut sedar diri sebagai parti yang kalah

Tindakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa segelintir ahli lupa bahawa UMNO ialah parti yang kalah dan sudah jatuh dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu disifatkan sebagai mempertahankan kejujuran politik.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata pandangan itu hanya bermatlamat mempertahankan agenda penyatuan ummah, kuasa politik ummah dan memastikan UMNO tidak tersilap langkah dalam percaturan politik menjelang PRU-15.

Tegas beliau pendapat itu sekali gus bukan mempertahankan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya yakin Annuar bukan bercakap bagi pihak Bersatu dan mendahului Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) dalam soal taktikal.

“Saya percaya Annuar hanya mempertahankan kejujuran politik iaitu bercakap benar dan tidak menyembunyikan fakta sebenar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Tun Faisal berkata adalah tidak wajar untuk terus menerus memainkan naratif palsu mengenai PRN Sabah yang direka-reka untuk memberi justifikasi kepada usul menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan cara menyemarakkan permusuhan dengan Bersatu.

“Saya berdoa supaya Ahli MKT, ahli UMNO dan cybertrooper berbayar yang memainkan naratif palsu, sentimen kebencian dan anti penyatuan Ummah ini segera insaf dan kembali kepada asas perjuangan sebenar iaitu pemerintah Islam, permuafakatan Ummah, penyatuan bangsa, ‘NO Anwar dan NO DAP.’

“Jangan bersubahat dengan penyebar naratif palsu dan usaha menghalalkan sokongan terhadap Anwar,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan itu menambah, Annuar mungkin dilihat seolah-olah bersendirian dalam menyatakan perkara tersebut secara terbuka, namun hakikatnya sebaliknya.
“(Ini kerana) tiga kali usul menyokong Anwar dibawa ke dalam mesyuarat melibatkan Ahli Parlimen dan pemimpin tertinggi UMNO (dan) tiga kali juga usul ini ditolak. Apakah maksudnya,” soalnya.

“Maksudnya, Annuar mungkin salah seorang yang menyuarakannya di media, tapi bukan bagi pihak Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya bagi pihak majoriti Ahli MKT dan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang masih belum mahu menyuarakan pandangan mereka secara terbuka tapi telah menegaskan pendirian mereka dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan mereka,” ujarnya.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi semalam menempelak Setiausaha Agung BN dengan mengingatkannya supaya tidak mendahului presiden parti dalam isu dasar taktikal atau bertindak sebagai ketua penerangan parti lain.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/kenyataan-annuar-umno-parti-yang-kalah-satu-kejujuran-politik-tun-faisal-269691

Read Previous

Pegawai imigresen terlibat sindiket ada rekod samun, curi kereta

Read Next

Pertikai kedudukan sebagai pengerusi PNBBC, Shahrir ‘lemah ilmu’, kata Shahidan

One Comment

  • Umno kalah bukan disebabkan rakyat benci umno…kalah dlm pru 14 itu disebabkan FITNAH pemimpin² Umno tengok dlm prk² selepas tu

Leave a Reply

%d bloggers like this: