UMNO akan muktamadkan tindakan – Ahmad Zahid

Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya berhubung pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar parlimen segera bersidang.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil Sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari daripada tarikh kenyataan tersebut.

Jelasnya, pendirian itu selari dengan asas UMNO yang memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,

Tegas beliau, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak perlulah berdolak-dalik lagi dengan istilah ‘secepat mungkin’ dan ‘segera’ yang digunakan di dalam kedua-dua kenyataan media media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung sidang Parlimen, yang hakikatnya menzahirkan kesepakatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah.

”Kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah,” kata Ahmad Zahid dalam satu kenyataan di sini.

Ujar beliau, UMNO menyokong penuh kedua-dua kenyataan media Istana Negara dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menzahirkan pendirian Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.

”Sebagaimana yang telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, UMNO berpendirian parlimen amat mustahak untuk diadakan bagi segera membawa pelbagai tuntutan dan harapan rakyat yang sedang kesempitan dalam mendepani pandemik Covid-19 di samping memastikan wujud akauntabiliti dalam urusan pentadbiran kerajaan,” katanya.

MalaysiaGazette

Read Previous

Apakah puak Bersatu tidak reti bahasa, soal MT Umno

Read Next

Ahli Parlimen boleh bersidang dalam kilang sebab sana selamat – Najib

Leave a Reply

%d bloggers like this: